Tuesday, 4 June 2013

BUDI PENYAYANG 2013

Salam semua..
Saya telah menyertai satu kelab yang dinamakan Kelab Budi Penyayang sepanjang semester 2 2012/2013.
Bersesuaian dengan nama kelab ini sendiri, kami telah melakukan pelbagai aktiviti kebajikan yang mampu mendekatkan diri kami dengan masyarakat luar.
Berikut merupakan aktiviti-aktiviti yang telah saya libatkan diri sepanjang saya berada di sem 2.

1.  Aktiviti  : Kempen Derma Darah.
     Tarikh   :  6 Mac hingga 8 Mac 2013.
     Tempat  : Dewan Besar Universiti Teknologi Malaysia kampus Kuala Lumpur.


-pamplet tentang kempen derma darah-
Kempen yang bermula dari pukul 8 pagi hingga 5 petang ini telah dihadiri seramai lebih kurang 150 orang. Meskipun tidak mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu 200 orang, tetapi semua ahli telah berusaha bersungguh-sungguh bagi menjayakan program ini dengan kerjasama pihak dari Hospital Kuala Lumpur.
-antara peralatan yang digunakan-

-peserta perlu melepasi 3 saringan sebelum dibenarkan menderma darah -
Sebelum menderma darah, seseorang perlu melakukan 4 saringan supaya tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Syarat utama sebelum menderma adalah seseorang itu perlulah mempunyai berat 45kg dan ke atas. Selain itu tidak mempunyai sebarang masalah seperti demam, selsema dan batuk yang teruk. Selepas itu, pegawai bertugas akan melakukan pemeriksaan jenis darah dan tahap haemoglobin dalam darah samada melepasi syarat atau tidak. Kebiasaannya, ramai yang akan terkandas di peringkat ini disebabkan kandungan haemoglobin yang kurang dalam darah. Kemudian, pemeriksaan terakhir iaitu pemeriksaan tekanan darah dilakukan. Selepas peringkat ini barulah seseorang itu boleh menderma darah.

-pensyarah UTM, Encik Azuha juga tidak terkecuali dalam menjayakan Kempen Derma Darah ini-

-wira-wira negara-

Isipadu darah yang diambil bergantung kepada berat badan seseorang. Sekiranya mempunyai berat 45-55kg, maka jumlah darah yang perlu didermakan hanyalah 350 ml. Sekiranya berat melebihi daripada yang disebutkan, maka jumlah darah tersebut adalah sebanyak 450 ml. :)

2. Aktiviti  : Lawatan ke Rumah Orang Tua
    Tarikh    : 30 Mac 2013
    Tempat : Rumah Ikhlas Bakti

Kami bertolak pada pukul 7.30 pagi dan sampai di sana hampir 1 jam 30 minit kemudian. 


-we are here to give them some community services-


Kami bekerjasama dengan pihak Klinik Kesihatan UTM dalam menjayakan program ini. Antara khidmat kami sepanjang di sana adalah, mengambil bacaan Body Mass Index (BMI) penghuni,  melakukan pemeriksaan tekanan darah serta beramah mesra bersama mereka di samping membantu apa yang perlu seperti menolong memotong kuku dan sebagainya.

-senarai nama penghuni yang diperiksa-

Tidak kesemua penghuni rumah tersebut menerima khidmat yang kami lakukan kerana kebanyakan daripada mereka telah uzur dan tidak berdaya untuk turut sama memberi sokongan kepada usaha kami ini. Namun ini semua tidak mematahkan semangat kami untuk terus menabur bakti kepada masyarakat. :)


-gambar kesemua penghuni rumah Ikhlas Bakti(perempuan)-

-yummy!!-


-Rumah Ikhlas Bakti-

-pengarah program menyampaikan cenderahati kepada penjaga Rumah Ikhlas Bakti-

3. Aktiviti : Kempen Anti-Merokok
    Tarikh : 16 Mei hingga 21 Mei 2013.
    Tempat : sekitar kawasan Kolej Kediaman Siswa Jaya dan 
                   Universiti Teknologi Malaysia.

Ini merupakan aktiviti terakhir sepanjang semester 2 ini. Untuk aktiviti ini, kami dikehendaki mengumpul 1000 tandatangan bagi menyokong kempen ini. 


-antara yang menyokong kempen anti-merokok ini- :)

 -sekitar dalam kolej-


-sekitar kawasan Kolej Kediaman Siswa Jaya-

Untuk sekitar kawasan universiti, tiada gambar diambil atas sebab tertentu. Maaf. :)

-pembentangan projek-

Tadaa!! Inilah hasilnya!! 1000 tandatangan untuk kempen Anti-Merokok. 
Walaupun penat dengan pelbagai kerenah tapi kami tetap bersemangat untuk menghabiskan aktiviti ini dengan jayanya.. :)

-hasil dari aktiviti ini-

Last but not least, special thanks dedicated to En Noraimi Shafie di atas segala tunjuk ajar yang diberikan kepada kami semua. Tanpa sokongan dan panduan dari beliau, kami semua mungkin tidak mampu untuk menghabiskan kesemua program yang dirancang dengan jayanya. Terima kasih En Noraimi! :)








Pemeliharaan Hutan Paya Bakau






Bumi adalah sebuah planet yang amat unik dalam cakerawala ini, bukan sahaja dari segi hidupannya, bahkan cara hidupan itu berinteraksi dengan alam sekitarnya. Walaupun keadaan persekitarannya yang melampau, masih ada yang mampu berdepan dan beradaptasi dengan persekitarannya, dari gurun yang panas melampau sehinggalah kepada kutub yang terlampau sejuknya. Begitu jugalah dengan hutan paya bakau yang hidup subur di kawasan yang berlumpur dan berair masin.

Mengikut Hamilton dan Sneaker (1984), “ Ekosistem hutan paya bakau adalah komuniti yang hidup di kawasan antara pasang surut laut dan tahan daripada air masin di zon pinggir pantai atau dikenali sebagai zon litoral.” Hutan paya bakau boleh ditemui di sempadan antara laut dan daratan. Hutan ini merupakan sebahagian dari hutan tropika. Tumbuhan ini tumbuh subur di kawasan tropika dan sub-tropika antara 30oU dan 30oS latitudnya. Menurut Pengarah Institut Oseanografi (INOS), Kolej Universiti Sains dan Teknologi (KUSTEM), iaitu Prof. Dr. Mohd. Lokman Hussain, Malaysia memiliki sebanyak 612 580.11 hektar bakau iaitu 341 377 hektar di Sabah, 168 000 hektar di Sarawak dan selebihnya pula iaitu 106 104 hektar terdapat di Semenanjung. Hanya 1.8% sahaja dari jumlah di Semenanjung  yang masih kekal keasliannya yang sebahagian besar dari jumlah ini berada di Perak, Johor, Selangor, Pahang dan Kedah. 

Jadi, seharusnya kawasan hutan bakau ini sepatutnya digazet dan dijadikan  hutan simpan demi menjaga keseimbangan ekosistem dan menambiakkan spesis yang tinggal dalam ekosistem paya bakau ini. Antara spesies fauna yang banyak tinggal di kawasan ini adalah ikan, ketam, udang dan banyak lagi spesis yang lain kerana kawasan paya terdapat banyak makanan dan sesuai dijadikan sebagai tempat pembiakan spesis tersebut. Kawasan paya bakau yang tidak diterokai mempunyai keseimbangan ekosistem yang baik manakala apabila kawasan paya bakau ini mula terokai maka keseimbangan ekosistem di paya bakau ini akan terganggu dan banyak spesis seperti ikan akan berkurangan.

Oleh yang demikian, seharusnya kita semua menjaga dan memelihara hutan paya bakau ini agar keseimbangan ekosistemnya sentiasa terpelihara. Antara faktor utama mengapa kita perlu memelihara hutan paya bakau ini adalah disebabkan factor utama iaitu masalah hakisan. Hakisan yang berlaku kebiasaannya disebabkan oleh ombak kuat yang menghempas ke pokok-pokok bakau ini. Sekaligus, ini boleh merencatkan pertumbuhan bakau, malah lebih teruk lagi boleh membawa kepada kepupusan spesies-spesies bakau yang jarang ditemui seperti Rhizophora apiculata sp (Bakau Minyak), Rhizophora mucronata sp (Bakau Kurap), dan Rhizophora stylosa sp (Bakau Kecil). Selain itu, hakisan juga akan memendakkan laut, dan ini akan menyebabkan flora dan fauna yang sedia ada berkemungkinan besar juga akan turut terjejas.

Faktor seperti tumpahan minyak juga boleh mengancam pertumbuhan dan habitat paya bakau ini. Hal ini akan menyebabkan hidupan alam air akan mengalami ancaman untuk terus hidup dan membiak dengan sempurna dalam habitatnya. Tumpahan minyak akan menyebabkan akar bakau tidak dapat bernafas sekaligus boleh mengundang kepada kepupusan pokok. Selain itu, pokok bakau juga tidak dapat melancarkan pertumbuhan benihnya yang secara semulajadinya tersebar melalui air.


Selain itu, faktor sampingan seperti sampah sarap juga boleh mengundang kepada kepupusan pokok bakau sekiranya tidak dibendung. Kesan kepada aktiviti tidak bermoral ini samada dating daripada pihak penduduk setempat mahupun orang awam boleh mengganggu persekitaran bakau. Lebih memilukan, aktiviti ini boleh membawa kepada kemusnahan habitat hidupan-hidupan air kecil seperti belacak dan ketam. Malah, habitat haiwan seperti monyet juga akan turut terjejas.


Justeru, pelbagai program telah dijalankan oleh badan-badan bukan kerajaan(NGO) dalam usaha bagi memastikan habitat hutan paya bakau ini terjaga. Salah  satu  contoh  program  penanaman  semula  hutan  paya  bakau  telah  dilakukan  di  negeri  Johor  Darul  Takzim.  Pihak  Jabatan  Alam  Sekitar (JAS)  dan  Jabatan  Perhutanan  Johor  telah  memainkan  peranan  dengan  mengadakan  program  menanam  semula  hutan  paya  bakau.  Pada  tahun  2008,  JAS  negeri  telah  menjalankan  aktiviti  menanam 1,600 pokok  bakau  jenis  bakau  minyak  dan  bakau  kurap  di  Pengerang  dan  Gelang  Patah.

Negeri  Terengganu juga menjadi pelopor kepada usaha pemuliharaan hutan paya bakau menerusi penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan sumber berharga alam semula jadi dan ekosistem fauna dan flora sentiasa dilindungi. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri, Toh Chin Yaw berkata usaha pemuliharaan hutan paya bakau diperhebatkan melibatkan pesisir pantai Terengganu dan akan diperluaskan lagi di seluruh kampung. YB Toh berkata demikian ketika melancarkan Program Penanaman Pokok Bakau, di Setiu, kelmarin (21 April). Hadir sama, perwakilan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) kawasan Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam, Richard Lette. Menurut YB Toh, adalah baik jika dapat melihat program ini dilaksanakan disetiap kampung di pesisir pantai supaya mengambil iktibar daripada tragedi tsunami yang melanda sebelum ini. Program dijalankan secara usahasama antara syarikat minyak dan gas tempatan, Petra Perdana Bhd dan Universiti Malaysia Terengganu, selain mendapat sokongan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Dalam pada itu, Richard Lette berkata, program ini sepatutnya dilaksanakan di seluruh negara dan pihaknya sanggup bekerjasama untuk melakukan projek sebegini kerana ia pertama kali dilaksanakan di Terengganu. Apa yang lebih penting, setiap anggota masyarakat perlu terlibat dalam usaha ini. "Dengan cara ini, kita dapat mendidik generasi muda supaya tidak hanya meletakkan tanggungjawab ini kepada kerajaan semata-mata. Program penanaman pokok bakau telah dimulakan pada 2006 melibatkan tiga buah kampung iaitu Kampung Gong Batu, Kampung Fikri dan Kampung Saujana,di Setiu. Kerajaan Negeri juga memperuntukkan tanah seluas tiga ekar bagi menanam tumbuhan paya bakau dari spesis bakau minyak atau dalam bahasa saintifiknya, Rhizophora Apiculata. Satu lagi badan bukan kerajaan iaitu Wetlands International telah melaksanakan projek pembangunan usaha ekopelancongan di Sedili Kechil pada tahun 2007. Begitu juga dengan kempen 'Go Green' yang telah dijalankan oleh badan bukan kerajaan iaitu DUPS3 MICE Management di Taman Negara Tanjung Piai, Pontian, Johor pada tahun 2010. Aktiviti ini telah membuktikan bahawa bukan sahaja badan kerajaan malah badan bukan kerajaan juga turut mengambil cakna tentang ekosistem hutan paya bakau di negara ini. Malah, dengan projek pemuliharaan hutan bakau dan pesisiran pantai ini juga telah membuktikan projek pemuliharaan hutan bakau akan berjaya dan berterusan dengan mengintegrasikan usaha pemuliharaan dengan hasil yang memanfaatkan masyarakat tempatannya.


Pada pandangan saya, secara keseluruhannya, program pemeliharaan hutan paya bakau ini akan berjaya dengan berkesan sekiranya semua pihak mengambil sikap bertanggungjawab dan sama-sama berganding bahu dalam menjayakan projek ini. Selain itu, sikap kesedaran dan keprihatinan yang tinggi perlu disemai dalam diri setiap individu agar mereka lebih peka terhadap keadaan persekitaran mereka.


Secara kesimpulannya, hutan paya bakau merupakan satu kawasan ekosistem yang harus dipelihara bagi mengelakkan berlaku sebarang kemusnahan di kawasan ini. Masyarakat akan rugi jika membiarkan tanah paya bakau mengalami kemusnahan kerana negara akan kehilangan satuekosistem alam yang unik dan tidak terdapat di kawasan lain. Jika eksploitasi berlebihan dilakukan di kawasan tanah paya ini akan menyebabkan kawasan tanah paya bakau akanberkurangan dan keseimbangan ekosistem juga turut terancam. Satu sistem pengurusan bagi  mengelakkan pengurangan tanah paya yang efisien perlu dilaksanakan supaya dapat menjaga  kelestarian tanah paya bakau agar akan terus berkekalan. Oleh sebab itu, semua  pihak   seharusnya memainkan peranan penting dalam memastikan kawasan tanah paya bakau ini terus berkekalan dan tidak hanya memandang untuk mendapat keuntungan sahaja.